Your Preferred 21st Century Lifelong Learning Partner

Salah satu kemahiran penting dalam Pembelajaran Abad ke-21 (PAK21) ialah komunikasi. Namun, apabila guru bertanya, “Apa jawapannya, kelas?” kebanyakan pelajar hanya menundukkan kepala seolah-olah daya tarikan graviti semakin kuat. Kenapa perkara ini berlaku dan bagaimana kita boleh mengatasinya?

Salah satu sebab utama adalah takut salah dan malu dihukum. “Kalau salah, nanti kena gelak!” – itulah ketakutan yang menghantui ramai pelajar. Mereka membayangkan kemungkinan terburuk walaupun hakikatnya guru tidak akan memarahi mereka. Solusinya, guru dan pelajar perlu membina budaya “salah tak apa, yang penting belajar.” Kesilapan adalah sebahagian daripada proses pembelajaran. Selain itu, ramai juga yang terperangkap dalam mentaliti “Kalau orang lain tak tanya, aku pun tak tanya.” Mereka bimbang kelihatan pelik jika menjadi satu-satunya yang bersuara, akhirnya semua pura-pura faham. Untuk mengatasi masalah ini, guru boleh memberi ‘bonus points’ kepada mereka yang bertanya atau menggunakan teknik anonymous questions seperti Mentimeter supaya pelajar lebih selesa bertanya.

Kurang keyakinan diri juga menjadi faktor utama. “Suara aku pelik ke?” “Nanti aku gagap!” – overthinking level 99! Cara terbaik untuk membantu mereka ialah memberi peluang latihan bercakap dalam kumpulan kecil sebelum bercakap di kelas besar. Teknik Think-Pair-Share sangat berkesan dalam meningkatkan keyakinan diri. Kadangkala, punca diam bukan kerana malu atau takut, tetapi kerana topik yang tidak menarik atau terlalu sukar difahami. Jika cikgu bercerita tentang fotosintesis tetapi otak pelajar sudah mengembara ke dunia Minecraft, memang susah nak dapat respons. Sebab itu, guru perlu mengaitkan topik dengan kehidupan pelajar. Contohnya, “Tumbuhan pun buat kerja dari rumah (WFH) dengan menggunakan cahaya matahari untuk masak makanan sendiri!”

Selain itu, ada juga pelajar yang tidak nampak kepentingan untuk bercakap. “Kenapa aku perlu bercakap? Kalau aku diam pun tetap dapat markah.” Untuk mengatasinya, guru boleh memperkenalkan aktiviti seperti debat ringan, role-play atau sistem ganjaran kecil yang menjadikan penyertaan lebih menarik. Ada juga pelajar yang sejak kecil tidak biasa berinteraksi dalam kelas kerana lebih banyak menghafal dan menyalin nota berbanding berbincang. Oleh itu, penting untuk membiasakan mereka dengan sesi ice-breaking, aktiviti team-building dalam kumpulan kecil dan strategi pembelajaran koperatif.

Tekanan rakan sebaya juga tidak boleh dipandang ringan. “Kalau aku banyak tanya, nanti kena cop budak nerd.” Peer pressure memang wujud! Oleh itu, guru perlu membina budaya di mana bertanya dianggap sebagai satu kelebihan. Pembelajaran koperatif dalam kumpulan kecil boleh membantu pelajar lebih selesa berbincang dan bertanya. Malangnya, ada juga pelajar yang diam kerana takut dengan cikgu! Jika guru terlalu tegas seperti final boss dalam permainan video, pelajar mungkin takut untuk bersuara. Oleh itu, guru boleh menggunakan pendekatan yang lebih santai, humor dan mewujudkan suasana yang selesa untuk pelajar bertanya.

Seterusnya, suasana kelas yang tidak selamat juga boleh menyumbang kepada sikap diam pelajar. Mungkin ada kawan yang suka mengejek atau guru yang terlalu cepat marah. Guru perlu memastikan kelas menjadi ruang yang selamat, menggalakkan sokongan sesama pelajar dan mengambil tindakan terhadap mereka yang suka mengejek. Satu lagi faktor yang menyebabkan kelas sunyi adalah pergantungan kepada ‘pelajar aktif’. “Ala, si Aini ada. Dia mesti jawab.” Akibatnya, yang lain hanya duduk diam selesa. Untuk mengatasinya, guru boleh menggunakan sistem random picker (pilih nama secara rawak) atau membuat aktiviti yang memerlukan semua orang terlibat.

Akhir sekali, bercakap dalam kelas adalah satu kebiasaan yang perlu dibentuk sejak awal. Jika dari awal sudah terbiasa diam, memang sukar untuk mula bersuara. Oleh itu, penting untuk membiasakan pelajar bertanya sejak hari pertama, mengadakan sesi Q&A yang menyeronokkan dan memberi masa kepada mereka untuk berfikir sebelum menjawab.

Kesimpulannya, diam dalam kelas bukan bermaksud pelajar tidak tahu, tetapi banyak faktor lain yang menghalang mereka untuk bercakap. Dengan pendekatan yang betul, guru boleh membantu membentuk suasana pembelajaran yang lebih aktif dan interaktif. Kemahiran komunikasi bukan sahaja penting untuk akademik tetapi juga untuk kehidupan mereka di masa hadapan. Jadi, mari kita ubah budaya kelas ke arah yang lebih terbuka dan menyeronokkan!

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *