Dalam sesi latihan saya tentang konsep constructive alignment, authentic assessment dan keperluan strategi pedagogi moden, saya sering menggunakan analogi karangan masa kita darjah 5 atau 6 dulu – “Aku Sebatang Pen”.
Apa Itu Constructive Alignment?
Dalam constructive alignment, ada tiga elemen utama yang perlu sejajar:
- Learning Outcomes (Hasil Pembelajaran)
- Class Instruction/Pedagogi (Kaedah Pengajaran)
- Assessments (Penilaian)
Secara teori, cara “biasa” untuk memastikan alignment ini adalah dengan mengukur learning outcomes dalam assessment. Tetapi adakah itu mencukupi?
Contoh: Karangan Aku Sebatang Pen
Katakan dalam silibus, learning outcome yang diharapkan ialah:
“Pada akhir kelas ini, pelajar mampu mengaplikasi kemahiran menulis karangan autobiografi.”
Dalam Taksonomi Bloom, ini berada di tahap C3 – Aplikasi. Ini bermakna pelajar sepatutnya dapat menggunakan kemahiran tersebut dalam situasi baru, bukan sekadar menghafal.
Jadi, jika karangan seperti Aku Sebatang Pen diberikan dalam Peperiksaan Akhir, dan pelajar boleh menjawabnya dengan cemerlang, kita akan anggap learning outcome telah dicapai. Sekolah bangga, guru gembira, dan pelajar mendapat keputusan yang hebat. Tetapi apa yang berlaku di sebaliknya?
Masalah Latih Tubi yang Tidak Seimbang
Bayangkan cikgu yang mengajar adalah seorang pakar. Dia juga terlibat dalam penyediaan soalan peperiksaan akhir. Supaya pelajar dapat skor tinggi, dia mengambil pendekatan berikut:
Minggu 1: Assignment – Aku Sebatang Pen Biru
Minggu 2: Assignment – Aku Sebatang Pen Hitam
Minggu 3: Assignment – Aku Sebatang Pen Hijau
Dekat peperiksaan akhir, pelajar perlu menulis Aku Sebatang Pen Merah.
Adakah mereka boleh jawab dengan cemerlang? Sudah tentu! Tetapi adakah alignment berlaku? Adakah pelajar benar-benar mencapai tahap C3 – Aplikasi, atau mereka sekadar menghafal format dan mengubah beberapa perkataan?
Realitinya, mereka hanya menghafal. Ini bukan C3 – Aplikasi, ini sebenarnya C1 – Ingatan sahaja.
Masalah Besar: Ketidakselarasan PISA/TIMMS dan SPM
Setiap tahun, kita melihat pencapaian pelajar dalam ujian antarabangsa seperti PISA dan TIMMS tidak setanding dengan keputusan SPM. Kenapa pelajar yang mendapat straight A dalam SPM masih mencatat keputusan lemah dalam ujian bertaraf antarabangsa?
Inilah salah satu sebabnya – sistem kita terlalu fokus kepada latih tubi untuk peperiksaan, bukan pembelajaran sebenar yang membina pemikiran kritikal.
Jadi, Bagaimana Nak Pastikan Alignment Berlaku?
Untuk mencapai learning outcomes yang betul, terutamanya KBAT (Kemahiran Berfikir Aras Tinggi):
✅ Aktiviti dalam kelas juga perlu bersifat KBAT – bukan sekadar ulang kaji dan latihan format peperiksaan.
✅ Pelajar perlu diuji dalam situasi baru – bukan hanya variasi daripada contoh yang telah diberikan.
✅ Penilaian perlu bersifat autentik – bukan hanya berfokus kepada keputusan peperiksaan tetapi bagaimana pelajar boleh menggunakan ilmu tersebut dalam dunia sebenar.
Kalau kita hanya buat latih tubi semata-mata untuk mendapat markah tinggi dalam peperiksaan, akhirnya siapa yang kita tipu? Siapa yang sebenarnya rugi?
Mari fikirkan dan sama-sama ubah pendekatan dalam pendidikan kita! 🚀