Dalam era pendidikan moden dan keperluan membentuk generasi akan datang, kita tidak boleh lagi bergantung pada pendekatan tradisional seperti “chalk and talk”. Pendidikan hari ini menuntut pendekatan yang lebih interaktif dan skill-based oriented. Bukan lagi sekadar menutup silibus, tetapi membiarkan pelajar meneroka dan memahami silibus itu sendiri.
Melaksanakan pendekatan baharu ini bukan mudah. Ia memerlukan usaha, masa dan perancangan yang teliti. Sebelum adanya teknologi seperti Canva dan Generative AI, pendidik perlu menjalani latihan, melakukan penyelidikan dan menyediakan bahan pengajaran secara manual. Berbanding pendekatan tradisional yang hanya memerlukan penyediaan slide, kaedah moden seperti active learning, flipped classroom, cooperative learning dan problem-based learning (PBL) memerlukan bahan yang lebih interaktif dan menarik.
Hasil daripada pendekatan ini amat berbaloi. Pendidik dapat melihat sendiri transformasi dalam kalangan pelajar. Dari sekadar menundukkan kepala kepada berani memberikan idea, dari kurang keyakinan diri kepada berani bercakap di hadapan orang ramai, serta dari kurang kemahiran bekerja dalam kumpulan kepada mampu bernegosiasi dengan baik. Ini adalah kemahiran penting yang akan kekal relevan walaupun teknologi terus berkembang.
Namun, jika pendidik merasa terbeban dengan perubahan ini dan tekanan mengejar silibus, mereka cenderung untuk kembali kepada kaedah tradisional seperti “chalk and talk”. Walaupun pendekatan ini lebih mudah, ia tidak memberi kesan yang diinginkan kepada pelajar.
Oleh itu, penggunaan teknologi seperti Canva dan Generative AI amat penting untuk membantu memudahkan proses ini. Canva menyediakan pelbagai kemudahan untuk mencipta bahan pembelajaran yang menarik. Pendidik boleh menghasilkan video untuk flipped classroom, lembaran kerja menggunakan template sedia ada, slaid pembentangan, infografik, dan kolaborasi digital menggunakan Canva Whiteboard. Dengan fungsi AI seperti Canva Magic, pendidik dapat menghasilkan pelbagai bahan pembelajaran digital dengan lebih mudah dan pantas.
Generative AI pula membantu pendidik dari segi penyediaan idea pengajaran yang berkesan. Ia boleh menjana rancangan pengajaran harian (RPH) dalam masa yang singkat serta memberikan cadangan aktiviti pembelajaran yang sesuai dengan pedagogi moden seperti PBL. Pendidik juga boleh menggunakan pelbagai alat AI yang tersedia untuk menghasilkan bahan bantu mengajar (ABM) yang kreatif dan berkesan.
Walaupun teknologi ini boleh dipelajari secara kendiri, pendidik digalakkan untuk mengikuti latihan formal bagi memastikan penggunaan yang lebih efektif.
Sejauh mana anda sebagai pendidik telah menguasai ketiga-tiga kemahiran (T&L, Canva & Gen AI) ini untuk “kejar” perhatian generasi yang advance mennggunakan teknologi dalam pendidikan? Tepuk dada, tanya selera.