Jika ada satu perkara yang saya perlu tekankan kepada para pendidik adalah keperluan untuk mengubah pendekatan pedagogi dalam kelas. Belajarlah, unlearn, learn dan relearn berulang kali.
Dengan silibus yang semakin mencabar seperti yang dikeluarkan oleh KPM, tiada cara lain selain mengubah kaedah pengajaran. Setidaknya, dengan izin Allah, akan ada perubahan walaupun sedikit pada pelajar. Saya secara peribadi tidak gemar membicarakan tentang silibus yang padat ini kerana seolah-olah seperti anjing menyalak bukit. Realitinya, tidak banyak yang akan berubah. Bak kata abang saya, “Takdenya KPM nak downgrade syllabus.”
Gunakan pedagogi berpusatkan pelajar (learner-centered pedagogy) dalam kelas untuk meningkatkan keupayaan pelajar berfikir. Fikirkan cara untuk melatih minda mereka sebagaimana kita melatih otot di gym.
Saya sendiri telah menyaksikan bagaimana penerapan active learning memberi kesan yang besar terhadap pelajar. Mereka bukan sahaja merasa lebih pintar (yang sangat penting untuk meningkatkan motivasi), malah mereka juga kekal dalam ‘mood’ untuk belajar sepanjang sesi dan semakin ingin tahu, dari masa ke masa. Kesannya, mereka akan terus bertambah baik.
Pendekatan yang Berkesan:
- Active Learning – Memberi peluang kepada pelajar untuk lebih banyak berinteraksi dan berfikir secara mendalam.
- Problem-Based Learning (PBL) – Menggalakkan pelajar menyelesaikan masalah dunia nyata secara kritis.
- Project-Based Learning (PjBL) – Menjadikan pembelajaran lebih relevan dengan menghubungkannya kepada projek sebenar.
- Team-Based Learning (TBL) – Mengukuhkan kemahiran berkomunikasi dan bekerjasama dalam kumpulan.
- Pemikiran Aras Tinggi (KBAT) – Latihan soal jawab terbuka untuk mengasah pemikiran kritis dan analitis.
Di zaman kecerdasan buatan (AI) semakin berkembang, jika kita masih mengajar hanya untuk menghafal kandungan dan menjawab peperiksaan semata-mata, lambat laun anak-anak kita akan mengalami apa yang saya panggil sebagai ‘sakit kebodohan’.
Bagi ibu bapa di rumah, tidak mengapa jika anak-anak belum menguasai silibus yang sukar sepenuhnya, tetapi janganlah lepas tangan terus. Berbicaralah dengan mereka secara berkala, latih pemikiran aras tinggi (KBAT) mereka dengan bertanyakan soalan terbuka supaya mereka dapat mengasah kemahiran berfikir secara kritis dan analitis. Itu yang lebih penting. Jika kita sudah melatih mereka berfikir dengan betul, mereka akan tahu bagaimana untuk belajar sendiri di kemudian hari. Mereka akan berkembang pada masa yang tepat, Insha Allah, asalkan kita tidak berhenti membimbing mereka.
Anak-anak lelaki saya sendiri adalah ‘late bloomers’. Ketika di sekolah rendah, mereka banyak bermain dan sering ponteng kelas. Tetapi saya sentiasa berbual dengan mereka mengenai pelbagai perkara. Saya bertanya soalan, meminta pendapat, dan menggalakkan mereka untuk berfikir. Alhamdulillah, kini di sekolah menengah, mereka berkembang dengan kemahiran pembelajaran kendiri yang mantap dan motivasi dalaman yang tinggi. Bukankah itu sesuatu yang indah?
Jadi, tanyalah diri kita sendiri, anak atau anak murid macam mana yang kita mahu lahirkan? Tepuk dada, tanya selera.